JUMAAT: MENINGGALNYA SEORANG DERMAWAN, PEJUANG!

13 Aug 20153comments


KAJANG – Dermawan Kajang, Datuk Bujang Buyong@Jislen Bagong atau lebih dikenali sebagai Datuk Ujang Bagong, 83, meninggal dunia di rumah anak bongsunya di Sungai Kantan di sini akibat sakit tua, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan empat anak dan 10 cucu selepas terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di  depan anak-anaknya.

Anak jati kelahiran Kampung Paya, Kajang dikenali sebagai individu pemurah dan mudah didekati itu bukan nama asing bagi rakyat Hulu Langat khususnya di Kajang.

Cucu saudara Allahyarham yang juga Penghulu Mukim Petaling 1, Mohd Shah Rizal Shol Hadli, 37, berkata, ketika hidupnya Ujang Bagong disifatkan sebagai seorang yang penyayang  kepada kanak-kanak, pemurah dan suka mengutamakan kepentingan orang lain.

“Kehilangan beliau amat dirasai orang Kajang apatah keluarga arwah sendiri. Allahyarham memang sangat sayang kepada kanak-kanak dan pemurah kepada sesiapa sahaja,”katanya.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pemandu kepada Pegawai Daerah Hulu Langat sebelum mula berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membayar wang jaminan bagi melepaskan Allahyarham Arshad Mat Gamat@Kiyai Arshad (individu yang menampar Karpal Singh selepas dikatakan menghina raja Melayu pada akhir tahun 80-an).

Dikenali tua dan muda,  Allahyarham  Ujang Bagong sebelum ini dengan keadaan bertongkat bersemangat tinggi membantu penduduk yang menghadapi kesusahan dan tidak lokek mengeluarkan berapa sahaja duit yang ada dalam koceknya untuk membantu.

Beliau juga adalah individu bertanggungjawab mempertahankan tanah tapak masjid (satu-satunya masjid di Kajang) seluas lima ekar yang cuba diambil alih oleh pihak lain.

 Anak bongsu daripada tujuh beradik ini juga adalah individu yang mengeluarkan kos pembiayaan bagi mengindahkan landskap Masjid Jamek Kajang dan Sekolah Rendah Agama Sungai Kantan 2  tanpa mengharap bantuan wakil rakyat atau mana-mana orang politik.

Allahyarham sebelum ini kehilangan isteri tercintanya Allahyarham Datin Faridah Abdul Manan, sembilan tahun lalu.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan selepas solat Jumaat.

SINAR HARIAN 
Share this article :

+ comments + 3 comments

15 September 2015 at 03:52

I went for a ride on your site. Continues! Can you put me in partner because I put you on my website.

25 September 2015 at 14:22

Great ! Thank you

16 February 2017 at 03:48

Saya dapati blog anda menarik, anda memberi nasihat yang besar.

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team