GURU PENGOBAR SEMANGAT PERJUANGAN ! IKUTI KISAH GURU ZAMAN PENJAJAH!

15 May 20141comments

Guru umpama lilin yang membakar. Itulah hakikat perjuangan seorang guru. Guru sesuai dengan peredaran zaman. Terlalu banyak kisah-kisah perjuangan yang MHS dapat baca untuk dibingkiskan di dalam penulisan sempena Hari Guru hari ini 16 Mei 2014 , terutamanya bila laman carian Google 'diketuk' bagi mencari bahan-bahan yang bertajuk "Guru Era Penjajah" atau "Perjuangan guru dalam UMNO" atau "Perjuangan guru dalam misi merdeka". Alhamdulillah, semua cerita-cerita berkenaan amat positif dan memang benar, tidak dinafikan Peranan Guru ketika itu adalah membakar semangat orang-orang Melayu dan orang-orang Tanah Melayu untuk berkerajaan sendiri! 
Mungkin kisah ini amat panjang untuk dibaca, tetapi ianya mungkin dapat memberikan semangat kepada kita terutamanya para guru dalam perjuangan yang tidak bernoktah ini.  Bukan wang ringgit menyara keluarga semata-mata yang dicari , malah perjuangan seorang guru adalah bagi membangunkan sebuah tamadun yang gilang - gemilang lengkap dengan jatidiri masyarakat yang utuh! Iktutilah...
Gambaran sistem pendidikan Zaman Pasca Merdeka 
  
KISAH GURU ZAMAN PENDUDUKAN PENJAJAH!
Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun telah menyuntik satu kesedaran baru dalam minda penduduk Tanah Melayu dan menyemarakkan lagi agenda mencapai kemerdekaan.
Pengalaman selama tiga tahun lapan bulan di bawah cengkaman Jepun yang kononnya ingin membebaskan Asia Tenggara daripada penjajahan Barat rupa-rupanya mengundang derita. Tetapi apabila British kembali ke Tanah Melayu, selepas Jepun menyerah diri, senarionya berubah sama sekali. Kekaguman serta penghormatan membuta-tuli terhadap pihak British yang wujud sebelum perang telah terhakis.


Hakikat bahawa British terlalu kuat untuk dikalahkan seperti yang dipercayai sebelumnya telah membangkitkan suara-suara penentangan yang mencetuskan perjuangan kemerdekaan. Antara yang aktif dan bersungguhsungguh meniupkan semangat perjuangan mendaulatkan maruah bangsa ialah golongan guru Melayu.



Apatah lagi ketika itu terdapat diskriminasi antara Sekolah Melayu tempat mereka mengajar yang masih lagi berbumbungkan atap dan sekolah Inggeris yang serba lengkap. Diskriminasi itu jugalah yang telah menyedarkan mereka bahawa hanya orang Melayulah yang dapat mengubah nasib mereka sendiri.

KEPRIHATINAN GURU TERHADAP KESENGSARAAN ORANG MELAYU
Kesusahan yang dialami masyarakat Melayu telah menyuntik semangat guru- guru pada zaman itu, menunjangi pergerakan politik. Sama ada dengan menyertai partiparti politik seperti Umno, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) malah ada juga yang menggunakan medium penulisan sebagai alat menyampaikan pandangan serta seruan masingmasing.


Dengan beraninya golongan ini menyuarakan komentar serta pandangan tajam mereka mengenai penjajah melalui suratkhabar seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Warta Jenaka. Ada juga yang menulis dalam akhbar-akhbar sebelum dan semasa pemerintahan Jepun seperti Persaudaraan Sahabat Pena Malaya, Semangat Asia dan Fajar Asia. Tulisan mereka lebih berkisar kepada cerpen dan rencana yang menyentuh soal politik, kebudayaan dan pendidikan.



Nama-nama seperti Abdul Ghafar Baba, Syed Nasir Syed Ismail, Alimin, Buyong Adil, Za'ba, Abdullah Sidek, Harun Md.Amin (Harun Aminurrashid) dan Shaharom Husain adalah antara tokoh guru penulis yang telah mewarnai dunia penulisan waktu itu.

Menurut Dr Shaharom Husain, 87, tokoh guru, sejarawan dan budayawan yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya menghasilkan beratus-ratus teks sastera dan sejarah, penglibatan guru-guru dalam dunia persuratkhabaran adalah satu usaha yang harus dihargai. Ini kerana mereka turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.

PENGLIBATAN GURU

Shaharom juga pernah menjadi guru dan jurubahasa Jepun pada zaman penjajahan Jepun. Beliau juga salah seorang lulusan guru dari maktab perguruan yang turut menjadi pusat menyemarakkan semangat kebangsaan.

Beliau turut mengimbau kembali penglibatan dan perjuangan beberapa orang tokoh guru penulis yang lahir daripada maktab-maktab perguruan seperti Maktab Latihan (Guru) Melayu Singapura, Melaka, Matang, Johor Baharu dan Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) di Tanjung Malim.



MENGHARGAI PERJUANGAN GURU

Sumbangan golongan guru penulis untuk memartabatkan bangsa tidak terhitung nilainya. Jiwa pendidik yang cintakan bangsa terus subur walaupun ada ketikanya dipuji dan dibela, ada waktunya pula dikeji dan difitnah.


Generasi muda mungkin agak terleka dengan kemewahan dan keamanan yang dicapai. Seharusnya golongan muda hari ini mengenal kembali susur galur sejarah negara.



"Manusia, bila sudah senang, sering lupa dan leka. Bila sudah senang, kita tidak ada apa lagi yang hendak diperjuangkan," 

Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di Malaysia! Semoga segala usaha dilipatgandakan demi perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair! Allahuakbar!  
Share this article :

+ comments + 1 comments

17 January 2018 at 01:18

Saya suka artikel anda, saya dapati ia ditulis dengan baik dan berstruktur ia berubah kerana kita tidak sering mempunyai peluang untuk melihat artikel jenis ini.
voyance mail gratuit en ligne

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team