NAJIB POPULAR, SOKONGAN CINA NAIK!

26 Jul 20120 comments


SHAH ALAM - Tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kalangan pengundi di Semenanjung "kekal stabil" di tahap positif meskipun merekodkan sedikit penurunan membabitkan kaum Melayu dan India, demikian menurut kajian kendalian Merdeka Center.
Penemuan firma itu, yang dikeluarkan semalam, menunjukkan populariti Najib pada bulan lalu berada di paras 64 peratus berbanding 65 peratus Mei lalu.
Kajian itu juga menunjukkan paras rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri di kalangan pengundi Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan India, kaum minoriti, masing-masing menurun daripada paras 79 peratus kepada 75 peratus dan 72 peratus kepada 69 peratus.
Bagaimanapun sokongan pengundi Cina terhadap prestasi Najib telah meningkat daripada 37 peratus pada Mei lalu kepada 42 peratus bulan lalu.
"Meskipun mengalami penurunan di kalangan pengundi kaum India dan Melayu, paras yang direkodkan masih tinggi. Cuma ada perubahan sedikit di kalangan pengundi Cina," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Katanya, perkembangan itu merupakan "satu pemulihan" sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri selepas perhimpunan Bersih 3.0.
Ketika ditanya sama ada ia satu peningkatan ketara sejak Pilihan Raya Umum 2008, Ibrahim berkata, masih awal untuk berkata demikian dan memerlukan satu lagi pusingan kajian untuk mendapatkan kepastian arah aliran sokongan kaum Cina kepada Najib.
Terdahulu dalam satu kenyataannya, Ibrahim berkata, pendirian komuniti-komuniti itu kemungkinan dipengaruhi oleh kebimbangan mereka tentang keadaan ekonomi negara khususnya di kalangan pengundi India.
"Ia juga ada kaitan dengan rasa tidak puas hati berhubung kenyataan berkaitan dengan aktivis (Pengerusi Bersama Bersih 2.0) Datuk S. Ambiga," kata beliau lagi.
Kajian terbaru ini dikendalikan antara 22 dan 29 Jun lalu membabitkan 1,010 pengundi berdaftar melibatkan 59 peratus pengundi Melayu, Cina (32 peratus) dan India (sembilan).
Ibrahim berkata, meskipun Najib merekodkan paras populariti yang stabil dan masih tinggi, kajian yang sama juga menunjukkan bahawa pandangan pengundi terhadap kerajaan terus mengalami penurunan.
Katanya, seramai 42 peratus responden melahirkan pendirian bahawa "mereka gembira dengan kerajaan" - satu penurunan sebanyak enam peratus berbanding kajian dikendalikan pada pertengahan Mei 2012.
"Penurunan ini sangat ketara di kalangan pengundi Melayu, di mana respons mereka yang mengatakan 'gembira' dengan kerajaan mengalami penurunan daripada 65 peratus pada bulan Mei kepada 58 peratus Jun 2012," katanya lagi.
Ibrahim juga berkata, kajian pihaknya juga menunjukkan bahawa pendirian berhubung isu-isu ekonomi khususnya kos hidup dan gaji menjadi aspek pilihan utama di kalangan pengundi - 39 peratus pada bulan lalu berbanding 33 peratus pada Mei lalu.
"Ini disusuli dengan kebimbangan berkenaan dengan kadar jenayah dan masalah sosial pada 12 peratus dan isu-isu politik sekitar lapan peratus," katanya lagi.

MHS harap perkara berkaitan ekonomi dapat ditangani dengan berkesan bagi jangka pendek dan jangka panjang selepas selesainya rangka kerja Bajet 2013 yang akan diumumkan kelak....Rakyat kena tunggu! 
Share this article :

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team