DISEBALIK GERAKAN ISLAM MESIR DAN MALAYSIA

20 Aug 20131comments


Pembebasan Hosni Mubarak bakal menyaksikan situasi ketegangan di Mesir menjaidi bertambah buruk. Pastinya akan wujud usaha untuk menabalkan semula Hosni sebagai Presiden Mesir atau kuasa penentu di belakang kepemimpinan rejim tentera sedia ada. Nampaknya masa depan Ikhwanul Muslimin lebih kelam apabila terpaksa berhadapan dengan genosid besar-besaran hasil operasi balas dendam Hosni.

Dengan hampir tiadanya sokongan ketenteraan dari mana-mana negara, Ikhwanul Muslimin bakal "dipupuskan" terus dari muka bumi ini, sepertimana parti-parti politik dan pertubuhan penentang pemerintahan keluarga Saud di Arab Saudi dan UAE. Walaupun Turki tampak lantang berbanding negara-negara Islam yang lain, namun Erdogan sedar bahawa kedudukannya juga sentiasa dikawal selia oleh pihak Tentera Sekular yang berkiblatkan US. Boleh dikatakan harapan untuk melihat kebangkitan bersenjata oleh penyokong Ikhwanul Muslimin, hatta rakyat biasa Mesir yang mahu menegakkan kebenaran hampir mustahil kerana kesemua kuasa besar dunia Arab kini berpihak kepada Tentera Mesir.

Inilah bijaknya kepimpinan tentera Mesir. Ketika arus Arab Spring melanda Mesir, mereka turutkan sahaja dan berpura-pura membantu rakyat menumbangkan Jeneral mereka sendiri. Walhal, mereka sedang mengatur langkah balas apabila semua sokongan luar sudah bersama mereka, maka tiada siapa yang dapat mengambil apa-apa tindakan walaupun pembunuhan beramai-ramai orang awam berlaku.

Pada hemat kami, dalam menegakkan agenda dan perjuangan Islam, slogan dan jeritan takbir sahaja tidak mencukupi. Malah logo tanda empat jari itu juga tidak akan menumbangkan Kerajaan rejim ganas walau seluruh dunia melakukannya, kerana tiadanya strategi bijak dan tersusun untuk dilaksanakan. Samalah situasinya di Malaysia ini. Kalau setakat bertakbir atas jalan raya dan paling pandai memanjat pokok tinggi untuk mengibarkan "panji-panji Islam", ia bukan bermakna Islam sudah menang dan berjaya dilaksanakan sepenuhnya. Lihat sahaja di Selangor.

Apa yang mengganggu pemikiran kami adalah gerombolan penyokong PAS terutamanya di laman-laman FB Mesir yang menghasut para pelajar supaya tidak pulang ke tanah air untuk syahid. Apakah bodoh, dungu dan tidak bertanggungjawabnya kenyataan itu? Siapa mereka untuk mengatakan mereka boleh syahid di Mesir dan tidak perlu jadi pengecut untuk balik ke tanah air? Apakah para pelajar kita tidak punya keluarga di sini?

Para pemimpin PAS juga nampaknya begitu ghairah mengambil kesempatan dengan pelbagai nukilan artikel dan kenyataan media yang menyentuh perasaan. Ya, mereka memang bijak mengambil peluang, tetapi apakah yang mereka lakukan selain membantah secara bertulis dan mengerahkan orang lain memekik-mekik di luar kedutaan Mesir? Tidakkah mereka selidik dahulu adakah pihak yang mereka maki dari luar bangunan kedutaan itu mungkin juga anggota pentadbiran Morsi dan ahli parti Ikhwanul Muslimin yang tidak dapat pulang? Sebab itulah DAP selalu menguasai keadaan dalam Pakatan Rakyat. PAS memang ramai dari segi penyokong, tetapi akal mereka sentiasa dikuasai emosi yang tiada hala tuju yang jelas.

Lebih jelik apabila mereka cuba pula menempelak kepimpinan UMNO dan BN kerana tidak berkeras dengan Mesir. Apakah tindakan mereka lebih baik daripada pemimpin Kerajaan yang terus ke Mesir untuk menyelamatkan rakyat dan pelajar kita, tanpa mengira fahaman politik? Anda jawab sendiri.

Sebab itulah, selagi perjuangan Islam itu tidak didasari dengan akal dan pemikiran yang tuntas, maka terus-terusanlah umat Islam menjadi mangsa kerakusan mereka yang berkedudukan dan berkuasa sehingga ke akhir masa nanti. Wallahu'alam.

Share this article :

+ comments + 1 comments

Anonymous
1 November 2017 at 04:09

I think, and it feels through all the articles, that you have mastered your subject from end to end.

voyance en ligne gratuite

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team