KRISIS MESIR: MALAYSIA LANCAR OPS PIRAMID II

20 Aug 20130 comments


PUTRAJAYA 20 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, operasi membawa pulang kesemua 3,300 pelajar Malaysia di Mesir bermula malam ini, selepas kerajaan mendapati pergolakan di negara itu semakin tidak menentu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima laporan daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamad Thajudeen Abdul Wahab yang kini berada di Kaherah untuk memantau perkembangan krisis di sana.
''Saya sudah dapat laporan bahawa keadaan di sana menjurus kepada keadaan yang tidak menentu dan mungkin lebih buruk daripada keadaan pada masa ini.

''Oleh itu, pasukan MKN beri pandangan dan nasihat supaya kita mulakan operasi membawa balik pelajar-pelajar yang ingin kembali secara sukarela dan saya bersetuju dengan pandangan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet lain.
Perdana Menteri berkata, mulai malam ini, kerajaan akan menempah tiket-tiket tertentu dalam penerbangan awam melalui Amman, Jordan dan Istanbul, Turki dan beberapa tempat lain untuk membawa pulang para pelajar.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Muhyiddin sudah berbincang dengan Universiti Al-Azhar untuk menentukan kaedah peperiksaan bagi pelajar yang kembali ke tanah air.

''Kita telah tetapkan dalam apa jua keadaan, mesti utamakan keselamatan pelajar. Kita tidak akan melengah-lengahkan lagi seandainya keadaan mungkin menjadi lebih serius, lebih genting dan lebih berbahaya.
''Tindakan untuk melindungi dan memelihara keselamatan pelajar hendaklah diberi keutamaan," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan menggunakan pesawat Charlie C130 kerana membabitkan masalah logistik yang lebih berat dan perbelanjaan yang lebih tinggi kerana pesawat tentera itu tidak boleh melakukan penerbangan jarak jauh pada satu-satu masa.

Menurutnya, segala urusan terperinci membawa pulang kumpulan pelajar dari Mesir akan memakan masa kerana tertakluk pada kekosongan tempat duduk yang boleh diperoleh dalam penerbangan dari sana.
Najib berkata, usaha membawa pulang pelajar dari Mesir ekoran krisis politik di negara itu yang sudah masuk kali kedua sejak 2011 turut mendorong kerajaan untuk melakukan sesuatu pada masa hadapan.
''Kita sedang fikir perkara ini, Universiti Al-Azhar merupakan sebuah universiti terkemuka dan tersohor, namanya terbilang.

''Kita kena kaji sama ada boleh bekerjasama dengan Universiti Al-Azhar untuk buat (buka cawangan) di Malaysia ataupun alternatif lain tetapi dari segi pengajian Islam," katanya.
Pada 2011 kira-kira 11,000 pelajar Malaysia dibawa keluar secara berperingkat menerusi Op Piramid ekoran konflik berdarah yang melanda Mesir selepas rakyatnya berdemonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Sementara itu, Najib berkata, belum ada persetujuan dicapai bagi mengadakan persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membincangkan krisis di Mesir.

Menurut beliau keputusan itu dibuat selepas kerajaan sementara Mesir menyatakan pergolakan di negara itu sebagai isu dalaman mereka.
''Perkara paling penting sekarang ini ialah mengurus pelajar-pelajar kita di Mesir dan pada masa ini, kita sedang mengkaji dengan teliti situasi di sana," katanya.




© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share this article :

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team