Ahli akademik, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, sekolah satu aliran tidak akan membunuh kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia kerana bahasa ibunda kaum tertentu seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil masih boleh dipelajari dengan menjadikannya sebagai subjek pilihan di sekolah.
Sehubungan itu katanya, kerajaan sebagai pelaksana dasar perlu memanggil semua pihak untuk membincangkan keperluan tersebut dan tidak terlalu defensif serta apologetik jika diasak oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bersetuju dengan sekolah satu aliran.

“Di Malaysia, situasinya adalah agensi pelaksana terlalu bertole­ransi, memang ada kebaikan dan keburukan tetapi jika kita bercakap soal negara bangsa, de­ngan adanya sistem pelbagai aliran ini menyebabkan bahasa Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.
“Saya percaya perbezaan kaum adalah kelebihan yang dimiliki negara kita, justeru kita boleh menggunakan kekuatan itu untuk mewujudkan masyarakat yang saling hormat-menghormati serta fasih bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka daripada bangsa yang berbeza-beza,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mohd. Ridhuan mengulas ken­yataan Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang berpandangan kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal khusus dalam kalangan generasi muda.
Kok Seong dilaporkan berkata, kewujudan sekolah vernakular hanya akan memburukkan keadaan kerana berterusan melahirkan ge­nerasi yang cenderung mengamalkan polarisasi dalam kehidupan.

Sementara itu, pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, tanggungjawab untuk mewujudkan perpaduan dan menubuhkan negara bangsa terletak di bahu setiap wakil rakyat, justeru mereka perlu berhenti daripada terus berpolitik dan segera mengambil langkah yang sewajarnya menangani isu yang timbul.
“Wakil rakyat perlu berhenti berpolitik, mereka yang dipilih oleh rakyat ini sepatutnya tahu apa perlu dilakukan jika mahu menubuhkan negara bangsa dan membuat keputusan sama ada sistem yang ada kekal atau berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, peranan mendidik anak-anak untuk fasih berbahasa Melayu tidak terletak di bahu setiap guru sahaja sebaliknya masyarakat terutama ibu bapa perlu turut bertanggungjawab.
Katanya, ibu bapa daripada kaum Cina perlu menggalakkan anak-anak mereka bergaul dengan rakan sebaya daripada bangsa lain selepas waktu sekolah kerana ia bukan sahaja membantu mengenali antara satu sama lain malah menjadi latihan pertuturan bahasa Melayu yang berkesan.