MHS hari ini ingin membuka peluang dan ruang pembaca dengan peluang dan ruang kita untuk memajukan diri dalam perniagaan. Modal bukanlah halangan sebenar. Yang penting adalah usaha, Azam dan Semangat kita untuk berjaya dan berdikari. Berfikiran positiflah dalam setiap amalan dan usaha kita dan yang penting ISTIQAMAH!
Pinjaman Perniagaan MARA
- Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP)
SPPP ditawarkan bagi membiayai mana-mana projek perdagangan, pekhidmatan, pembuatan dan pengangkutan. Had pembiayaan atau pinjaman yang diberikan kepada Syarikat Milik Tunggal/ Persendirian adalah sehingga RM250,000 manakala untuk Syarikat Sendirian Berhad sehingga RM500,000. MARA akan menilai terlebih dahulu tentang belanjawan kasar bagi sesuatu projek sebelum meluluskan sebarang pinjaman.
- Skim Pembiayaan Komersial
Skim Pembiayaan Komersial adalah bagi tujuan pembelian premis perniagaan yang bertaraf kekal dan siap dibina atau pembinaan premis perniagaan di atas tanah milik sendiri. Had pinjaman yang diberikan MARA bagi Skim Pembiayaan Komersial adalah sama seperti Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan.
- Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE)
SPiKE pula ditawarkan kepada kerja-kerja kontrak pembinaan, bekalan, perkhidmatan, dan kerja-kerja elektrik. Pinjaman yang diberikan adalah kepada mana-mana kontraktor kelas F, D dan E. Kadarpinjaman yang boleh diluluskan MARA adalah sehingga RM500,000.
- Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM)
Merupakan antara skim yang memberikan kemudahan pinjaman kepada usahawan-usahawan Bumiputera yang terpilih. Bagi memastikan SJUM dapat dilaksanakan dengan baik, MARA telah bekerjasama dengan bank komersial yang menawarkan kemudahan pembiayaan dan MARA berperanan sebagai penjamin. SJUM juga menawarkan jumlah pinjaman tertinggi sehingga mencecah RM2 juta dan serendah RM500,000.
Keempat-empat skim yang diperkenalkan mempunyai pengkhususan tersendiri dan kesemuanya adalah bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan yang berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada atau membuka perniagaan baru.
Prosedur Permohonan Pembiayaan Perniagaan
Terdapat beberapa prosedur yang digariskan oleh MARA untuk mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan bantuan pinjaman yang ditawarkan. Bagi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP), borang permohonan boleh didapati melalui mana-mana Pejabat MARA Daerah/Negeri yang berhampiran. Sebanyak empat borang yang perlu didapatkan iaitu :
- Borang Permohonan Pembiayaan Perniagaan
- Borang Maklumat Peribadi
- Borang Jaminan/Cagaran
- Senarai Semak Permohonan Pembiayaan
Sejumlah bayaran pemprosesan permohonan juga dikenakan mengikut kadar pinjaman yang dimohon. Bagi Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM), permohonan boleh dilakukan dengan menggunakan rancangan perniagaan kepada bank komersial yang berhampiran iaitu Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Para usahawan boleh membuat permohonan di Pejabat MARA Daerah dan setelah diteliti oleh Pejabat MARA Daerah, borang tersebut akan dihantar kepada Pejabat MARA Negeri/Bahagian Pembiayaan Perniagaan dan sekiranya Pejabat MARA Daerah tidak berpuas hati, borang-borang tersebut akan dikembalikan semula kepada pihak pemohon. Pejabat MARA Negeri/Bahagian Pembiayaan Perniagaan bertindak sama ada untuk meluluskan atau tidak permohonan yang telah dibuat. Pejabat MARA Negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang keputusan bagi permohonan yang melibatkan Skim SPiKE dan Skim SPPP yang melibatkan permohonan pembiayaan sehingga RM250,000. Bahagian Pembiayaan Perniagaan pula berbidang kuasa untuk sebarang permohonan Skim SPPP yang berjumlah RM250,001 sehingga RM500,000 dan Skim SJUM. Sebarang keputusan akan dimaklumkan oleh MARA kepada pihak pemohon dalam tempoh 14 hari bekerja.
CAGARAN
Dalam persoalan cagaran atau jaminan pula, MARA telah mengenalpasti beberapa langkah dan kaedah. Bagi Jaminan Orang Perseorangan iaitu bagi yang bermajikan, adalah dibenarkan dengan mengambil mana-mana kakitangan sektor awam atau swasta sebagai penjamin. Cara kedua pula adalah melalui cagaran tanah. MARA menerima tanah sebagai cagaran bagi tanah yang bebas dari sekatan, milik sendiri, atau milik ibu bapa dan saudara-saudara yang terdekat. MARA turut membenarkan cagaran yang dibuat dengan menggabungkan penjamin dan juga tanah. Selain itu, jaminan tambahan yang dibenarkan adalah seperti jaminan Ahli Lembaga Pengarah untuk Syarikat Sendirian Berhad, Surat Ikatan Serahak bagi pembiayaan kontrak, dan Perjanjian ‘Debenture’ bagi pembiayaan RM250,001 dan ke atas. Cagaran atau jaminan yang dikenakan oleh MARA bertujuan untuk memastikan para usahawan lebih bersungguh-sungguh dan gigih menjalankan perniagaan apabila telah mendapat pembiayaan daripada MARA.
Banyak betul keistimewaan MARA kepada Bumiputra. Patutlah ada pihak yang tidak suka dengan MARA! Apa-apapun MARA ditubuhkan melalui PERLEMBAGAAN di bawah RIDA satu ketika dulu untuk memberi peluang dan ruang kepada bumiputra untuk menceburkan diri dalam suatu bidang yang asing bagi mereka!
Post a Comment
Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...