SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dilihat berada pada pusingan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
apabila beliau sekali lagi membuat kunjungan ke beberapa negeri sehingga 24
Februari ini.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian
berkata, lawatan itu boleh disifatkan sebagai pecutan trakhir Najib dalam
menghadapi pilihan raya yang dianggap paling getir.
“Ini adalah persiapan paling rapi yang pernah dibuat Perdana
Menteri, beliau (Najib) mahu memastikan PRU13 adalah lebih baik daripada 2008.
“Saya percaya pecutan terakhir ini mampu memberi impak yang
besar kepada Barisan Nasional (BN). Melalui lawatan itu juga adalah penentu
bila tarikh PRU13,” katanya.
Perdana Menteri mempunyai masa sehingga 27 April ini untuk
mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.
Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia berkata, lawatan perdana menteri itu
juga sebagai penyuntik semangat kepada pemimpin di peringkat akar umbi untuk
bersedia menghadapi PRU13.
“Lawatan turun padang itu juga adalah peluang perdana menteri
untuk melihat sendiri maklum balas rakyat terhadap kerajaan, dan apabila telah
berpuas hati pasti tarikh pilhan raya itu akan lebih hampir,” katanya.
Beliau turut berpendapat yang BN masih mempunyai kelebihan di
dalam pilihan raya akan datang dengan melihat sokongan dan gerak kerja yang
dilakukan oleh perdana menteri dan parti kompenan BN.
“Walaupun banyak pihak yang mengandaikan parti kompenan BN
tidak buat kerja, saya fikir tidak semuanya begitu, mungkin mereka kurang
mendapat pendedahan media massa.
“BN masih menguasi beberapa perkara yang mampu menjadi
penentu kemenangan parti itu dalam PRU13 nanti,” katanya.
Semalam, Najib berada di Johor menyertai sambutan Tahun Baru
Cina bersama dengan komuniti di Kulaijaya dan turut melancarkan projek
Perumahan Rakyat 1Malaysia.
Kelmarin beliau berada di Pulau Pinang.
Beliau akan ke Sabah hari ini selama dua hari yang mana
beliau dijangka menghadiri beberapa program di Beaufort, Papar dan Tuaran pada
Khamis.
Seterusnya, pada Jumaat, Najib akan berada di Ipoh bagi
merasmikan Pusat Transformasi Urban dan akan ke Seri Iskandar selepas solat
Jumaat untuk menghadiri sebuah program bertemakan ‘Mengubah Destini Orang Asli’.
Najib juga dikhabarkan akan berkunjung ke Majlis Santai Para
Pemimpin Malaysia-Singapura di republik itu pada 18 Februari dan beliau
dijangka akan singgah di Johor Bahru pada hari berikutnya untuk melihat
perkembangan pembangunan di Nusajaya dan Iskandar Malaysia.
Perdana Menteri, juga akan mengisi masa di Sarawak pada 20
Februari sehingga 22 Februari untuk menghadiri beberapa program di Kuching dan
Miri, dan kemudiannya ke Terengganu pada 23 Februari untuk lawatan sehari di
mana jadual beliau akan melibatkan program Jelajah Janji Ditepati.
Kemungkinan yang terakhir, Najib akan berada di Kuala
Pilah, Negeri Sembilan bagi menghadiri program bertemu rakyat pada 24 Februari.
Post a Comment
Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...