MALAYSIA, DIIKTIRAF KEDUA NEGARA BERDAYA SAING

5 Sep 20120 comments

Kuala Lumpur: Malaysia kekal di tempat kedua sebagai negara paling berdaya saing dalam kalangan negara ASEAN dan tempat kelapan antara 22 negara Asia Pasifik mengatasi China, India dan negara ASEAN lain kecuali Singapura. 

Dengan mencatat skor 5.06 dalam Laporan Daya Saing Global 2012-2013 terbitan World Economic Forum (WEF), Malaysia juga kekal dalam kalangan 20 peratus negara teratas yang paling berdaya saing pada peringkat global. 

Tahap peralihan 





Kini, Malaysia berada pada kedudukan ke-25 dalam kalangan 144 negara yang terbabit dalam kajian WEF, sebuah organisasi yang berpangkalan di Switzerland. Tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan ke-21. 

Laporan itu yang dibentangkan kepada media di sini, semalam oleh Pengarah Kanan Daya Saing Global, Malaysia Productivity Corporation, Lee Saw Hoon, menunjukkan Malaysia dikategorikan sebagai negara yang berada dalam tahap peralihan ke arah pembangunan yang didorong inovasi berikutan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kepada AS$9,700 (kira-kira RM30,070) daripada AS$8,423 (kira-kira RM26,111). 

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata WEF mengiktiraf usaha negara ini untuk meningkatkan rantaian nilai dan meletakkan Malaysia di tahap peralihan ke arah tahap pembangunan yang didorong oleh inovasi daripada tahap yang didorong kecekapan sebelumnya. 

Ini bermakna, Malaysia perlu memberi penekanan kepada inovasi yang berasaskan teknologi dan bukan teknologi untuk meningkatkan daya saing Malaysia, katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan itu. 
Mustapa berkata, dalam penilaian WEF itu, kekuatan daya saing Malaysia yang paling ketara adalah dalam pasaran barangan dan perkhidmatan yang cekap dan kompetitif serta sektor kewangan yang menyokong serta kerangka institusi yang mesra perniagaan. 

Penambahbaikan 

Beliau berkata, WEF berpendapat Malaysia berjaya menangani isu ketelusan dan halangan birokrasi dengan cemerlang walaupun kebanyakan negara serantau masih lagi berdepan dengan kedua-dua isu berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, WEF menyarankan beberapa penambahbaikan masih perlu dilakukan untuk meletakkan negara ini dalam landasan pertumbuhan yang kukuh. - BH-
Share this article :

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team