RUANGAN KRITIK REMAJA MELAYU UNTUK BANTU BANGSA MELAYU : HISAP SHISHA JERRR..

16 Feb 20131comments


Remaja ini leka bersama kepulan asap shisha tanpa mengetahui tabiat tersebut boleh mengancam nyawa.

MENIKMATI segelas teh tarik sambil bersembang berjam-jam lamanya bersama rakan-rakan pada malam minggu di restoran mamak merupakan senario yang biasa kita lihat di mana-mana jua bandar besar.
Hari ini walaupun senario tersebut masih lagi 'diamalkan' warga kota pada malam-malam minggu tetapi kini mereka tidak lagi hanya memesan segelas teh tarik untuk merancakkan lagi perbualan malah kehadiran shisha memeriahkan lagi suasana.

Kegilaan shisha di kalangan warga kota hari ini nampaknya semakin menjadi-jadi malah boleh dikatakan setiap restoran turut menjadikan shisha satu 'menu' wajib yang disajikan kepada para pengunjung.
Shisha bukanlah satu amalan baru di negara ini kerana kewujudannya adalah seiring dengan kemasukan para pelancong dari negara-negara di Asia Barat.

Sudah pasti kewujudan awalnya hanyalah untuk memenuhi permintaan pelancong-pelancong dari sana yang sememangnya gemar menghisap shisha.
Begitupun hari ini shisha semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat setempat termasuk remaja di bawah umur.

Ternyata 'kehadiran' shisha di mana-mana juga sudut restoran menjadikan amalan tersebut semakin 'rancak' dalam kalangan remaja dan tidak keterlaluan sekiranya mengkategorikan mereka ini pelajar sekolah.
Tinjauan yang dilakukan pada malam minggu di beberapa buah restoran mamak terutamanya di sekitar ibu kota mendapati shisha kini dipelopori golongan ini (remaja serta pelajar sekolah).

Apa yang menjengkelkan ialah remaja-remaja tersebut seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perbuatan mereka malah menghisap shisha dengan penuh 'khusyuk' bersama rakan-rakan.
Malah amalan (hisap shisha) tersebut bukan sahaja ketara dalam kalangan remaja lelaki tetapi ia turut menjadi pilihan remaja-remaja perempuan.

Mereka (remaja perempuan) ini juga dilihat tanpa segan silu menghisap dan menghembus asap shisha dengan penuh bangga tanpa memikirkan orang sekeliling.
Daripada pemerhatian, nampak gayanya amalan (menghisap shisha) tersebut kepada mereka adalah perkara biasa dan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Apa yang dikesalkan para remaja ini beranggapan perbuatan mereka tidak salah di sisi undang-undang dan mereka juga tidak mengganggu sesiapa.

Seorang remaja yang ditemui dan tidak mahu dikenali menyifatkan kunjungannya ke restoran mamak pada malam minggu sambil melepak bersama rakan-rakan adalah rutin harian mereka.
Malah menghisap shisha bersama rakan-rakan juga adalah aktiviti biasa yang sering mereka lakukan apabila berkumpul bersama.

"Saya hanya hisap shisha dan tidak mengganggu sesiapa pun.
"Lagipun bukannya tiap-tiap hari saya hisap shisha, hanya malam minggu itupun kongsi ramai-ramai," kata seorang remaja yang enggan dikenali.

Daripada perbualan seterusnya juga mendapati dengan harga RM10 dan mampu bertahan berjam-jam lamanya turut menjadi faktor utama kenapa remaja-remaja ini gemar menghisap shisha.
Tambahan pula ia boleh didapati dalam pelbagai perasa, menjadikan shisha kini satu 'barangan' yang dicari-cari.

Melalui perbualan itu juga, ternyata golongan ini tidak mengetahui shisha turut mengandungi nikotin sama seperti rokok walaupun jumlahnya sedikit.
Mereka juga tidak mengetahui arang yang membakar tembakau shisha juga memberi kesan kepada penghisap.
"Ada nikotin ke? Tak tahu pula saya sebab (shisha) ada pelbagai rasa.
"Arang ni pun terlibat sama ke? Habis tu kalau tak guna arang nak guna apa?
"Lagipun kami hisap shisha guna paip dan tidak secara terus macam hisap rokok," ujar remaja tersebut secara jujur.

Ternyata penjualan secara berleluasa ketika ini dan ditambah pula kurangnya pengetahuan mengenai bahaya shisha menjadikan remaja-remaja hari ini menjadikan tabiat tersebut pilihan utama untuk berseronok.
Tinjauan tersebut turut mendapati remaja-remaja tersebut menafikan sekeras-kerasnya shisha menjadikan mereka ketagih seperti menghisap rokok.
Malah mereka turut memberitahu sekurang-kurangnya aktiviti (menghisap shisha) mereka tidaklah seteruk orang yang menghisap rokok.

Dalam tinjauan yang dilakukan juga mendapati masyarakat hari ini tidak peka dengan keadaan sekeliling apabila menghisap shisha sambil ditemani kaum keluarga.
Apa yang menyedihkan ada ibu bapa yang menghisap shisha berdekatan dengan anak-anak yang masih kecil tanpa menghiraukan asap tersebut turut disedut anak masing-masing.
Jadi tidak mustahil anak-anak kecil ini mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka dengan menghisap shisha apabila dewasa kelak.

Paling menyedihkan ada juga dalam kalangan wanita yang bertudung turut menghisap shisha tanpa memikirkan pandangan orang sekeliling.
Tidak dinafikan itu adalah hak masing-masing tetapi sedarkah mereka kelakuan tersebut menarik perhatian ramai.

Lagi satu senario yang amat mendukacita ialah rata-rata penghisap shisha adalah orang Melayu.
Sampai bilakah senario ini akan berterusan dan sehingga bilakah orang Melayu akan dilihat dan 'dicop' sebagai golongan yang mudah dipengaruhi oleh budaya luar?

Jika isu ini isu lapuk yang cuba dibangkitkan semula, cubalah berfikir sekiranya ia tidak dibendung, perlahan-lahan ia menular dalam kehidupan hari ini dan tidak mustahil menjadi satu budaya perosak.


© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share this article :

+ comments + 1 comments

15 July 2020 at 02:45

Thank you for these good moments on your blog. I am often in the post to watch (again and again) these wonderful articles that you shared. Really very interesting. All the best !

voyance mail gratuit en ligne

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team