TMJ BAKAL DUDUKI KERUSI PRESIDEN FAM?

23 Feb 20141comments



Presiden Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim disifatkan sebagai antara calon terbaik untuk mengisi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mesyuarat pemilihan badan induk bola sepak itu berlangsung 25 Mei.

Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Tunku Ismail sebagai individu yang komited dan terlibat secara langsung dalam aktiviti sukan itu untuk melayakkannya dipilih bagi menerajui kepimpinan bola sepak negara ini.

Selain Tunku Ismail, beliau juga percaya jawatan itu boleh diisi oleh Presiden Bolasepak Sabah (Sabah FA), Datuk Seri Musa Aman; Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Astaman Abdul Aziz.

“Saya fikir presiden bola sepak Johor (Tunku Ismail) boleh, presiden bola sepak Sabah, Negeri Sembilan boleh... mereka komited. Johor memang komited kerana terlibat secara langsung dalam bola sepak.

“Saya tidak boleh bertanding sebab saya masih digantung sampai Oktober ini, kalau pemilihan bulan enam atau bulan tujuh pun, saya boleh tengok sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi The Red Warriors untuk kejohanan Piala AFC di sini semalam.

Annuar berkata, jawatan Presiden FAM merupakan jawatan yang dipertandingkan tetapi ramai calon yang takut untuk menawarkan diri sebaliknya lebih suka bercakap di belakang apabila seseorang individu itu gagal berkhidmat dengan baik.

Beliau berkata, sekiranya terdapat calon yang berpotensi, mereka perlu diketengahkan untuk membantu melonjakkan bola sepak negara ini ke tahap lebih baik.

“Saya berharap badan gabungan ada keberanian, tidak memadai kita mengeluh sepanjang masa. Kita bercakap sudah lama, banyak yang sudah kita lalui tetapi sekiranya pemilihan kali ini sama macam sebelum ini maka tidak akan ada perubahan juga.

“Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) sudah banyak memberikan sumbangan kepada bola sepak tanah air tetapi bola sepak memerlukan anjakan dan saya rasa baginda bersedia untuk membuka laluan kepada calon-calon baharu untuk jawatan itu.

“Secara peribadi saya berharap akan ada perubahan secara dinamik dalam bola sepak tanah air kita kerana pada waktu ini kedudukan Malaysia di tangga ke-160 adalah tidak sesuai, kita perlu berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar menyasarkan Kelantan sekurang-kurangnya dapat menempatkan diri ke pusingan suku akhir Piala AFC. -UTUSAN- 





Sementara itu , Tan Sri Annuar Musa menyatakan ramai layak untuk mengisi jawatan Presiden FAM seperti dilapor akhbar Sinar hari ini . 


PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengharapkan akan ada individu yang berani tampil menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014- 2018.

Menurutnya, kini sudah tiba masanya perubahan dilakukan berdasarkan perkembangan sukan bola sepak semasa selain beberapa perubahan ke arah kebaikan perlu dilakukan.

“Keterbukaan FAM sebenarnya dari segi status dari dulu lagi, jawatan ini dulu dipertandingkan (terbuka) namun, ia masalah kita sendiri untuk bertanding kerana tidak berani dan bimbang orang berkata di belakang.
“Untuk kali ini saya harap perlu ada keberanian supaya individu berkenaan tampil bertanding, tak memadai dengan kita mengeluh.

“Presiden FAM sedia ada, Sultan Ahmad Shah tidak boleh dipersalahkan kerana ahli-ahli gabungan yang memilih baginda menduduki kerusi tersebut. Tuanku telah lakukan apa yang termampu, jasa dan bakti presiden sememangnya tidak dapat dinafikan dari dulu hingga kini.

“Cuma kita perlu ada perubahan dari semasa ke semasa khususnya perubahan ke arah pembangunan bola sepak agar berada di kedudukan yang lebih tinggi dari sekarang,” katanya.

Ditanya siapakah individu yang paling sesuai untuk jawatan tersebut, Annuar menjelaskan ramai presiden persatuan bola sepak negeri yang berkemampuan mengalas jawatan berkenaan.

“Jika dilihat pada keadaan semasa Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara yang berpotensi dan menunjukkan komitmen tanpa berbelah bahagi.

“Selain itu, presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur juga tidak terkecuali turut sama berpotensi namun,  seperti yang saya katakan tadi perlu ada keberanian untuk bertanding.

“Melihat kepada bantuan dan sokongan serta kemudahan yang ada, kita tidak sepatutnya berada di kedudukan 160 dunia. Dahulu masa saya menjadi Menteri Belia dan Sukan kita menduduki tangga 78 dan paling teruk pun 100.

“Namun, semua ini perlulah masa panjang dan bukanlah tugas yang mudah jadi kita perlukan aspirasi ke arah kecemerlangan sukan bola sepak,” katanya.

Kelmarin,  Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM memutuskan mengadakan kongres 25 Mei depan bagi pemilihan kepimpinan tertinggi FAM bagi penggal 2014 hingga 2018.

Ini termasuklah jawatan kerusi presiden, dua kerusi timbalan presiden, empat kerusi naib presiden serta 10 kerusi Exco termasuk dua kerusi baharu yang diperuntukkan untuk calon wanita.

Namun, mesyuarat juga memutuskan mereka yang sedang menjalani penggantungan oleh badan induk tidak layak bertanding, seterusnya menutup hasrat Annuar untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden II yang disandangkan kerana masih menjalani penggantungan.


Share this article :

+ comments + 1 comments

org johor
23 February 2014 at 18:43

TMJ telah berjaya menyemarakkan semula minat penonton kpd bolasepak, dan hasilnya kini seringkali stadium penuh bila ada perlawanan bolasepak.

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team