SELAMAT HARI PEJUANG WAHAI PEJUANG NEGARA!! HARI POLIS 206!! #pdrm

24 Mar 20130 comments


Mereka tidak dapat hadir pada perbarisan Hari Polis , tetapi semangat juang lapan anggota polis yang gugur di medan pertempuran dengan pengganas militan di Sabah tetap menyala di kalangan rakan seperjuangan mereka.


Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerbangkan khas 93 anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat untuk menyertai perbarisan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) .




Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 pegawai Komando VAT69 dan Jabatan Siasatan Jenayah itu dijangka menyertai perbarisan dengan mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata kumpulan itu adalah pasukan barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac dan serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna sehari selepas itu.

Pertempuran antara pasukan keselamatan dan militan dari selatan Filipina yang menceroboh Sabah sejak 12 Feb lepas, di Kampung Tanduo mengorbankan dua anggota keselamatan manakala enam anggota polis gugur dalam serangan hendap di perkampungan air di Semporna.

Mereka yang terkorban di Kampung Tanduo ialah ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna ialah ACP Ibrahim Lebar, 52, dan Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, DSP Michael Padel, 36, Sjn Mejar Baharin Hamid, 49, Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48, dan Sjn Salam Togiran, 42.

Ramli berkata pada majlis itu tujuh balu dan seorang waris anggota yang terkorban akan mengambil kenaikan pangkat pegawai dan anggota berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam wawancara khas sempena hari polis berkata pasukan keselamatan menunjukkan kesungguhan, komitmen dan kepahlawanan yang tinggi dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah.

“Saya sendiri yang berada di barisan hadapan lebih kurang dua minggu dapat melihat berapa beraninya semangat yang ditunjukkan pasukan keselamatan kita demi rakyat di Sabah,” katanya.

Sambutan Hari Polis, yang bertemakan ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’ itu antara lain, akan mengetengahkan revolusi kepolisian negara sejak zaman Kesultanan Melayu hingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.

Tiga era perkhidmatan PDRM itu ialah dari zaman Kesultanan Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan; pasukan polis di zaman pasca merdeka sehingga era komunis; dan menuju era kepolisian bertaraf antarabangsa.

Konsep ketiga-tiga era itu akan dipersembahkan dalam perbarisan Hari Polis, merangkumi kelengkapan dan pakaian polis. Turut dipersembahkan pada perbarisan itu ialah pertunjukan pantomin yang akan dipersembahkan mengikut era kepolisian masing-masing.

Pada sambutan kali ini buat pertama kalinya, pasukan polis akan mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis. -SUMBER
Share this article :

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team