KUALA LUMPUR 26 Nov. - Hamas menghargai peranan dan sokongan UMNO terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara itu daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Ketua Perhubungan Awam Hamas, Osama Hamdan berkata, UMNO juga banyak menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Jelas beliau, UMNO sentiasa berpegang teguh dengan pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin walaupun setelah Hamas mengambil alih pentadbiran negara bergolak itu daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
"Dalam serangan terbaru Israel ke atas Gaza baru-baru ini, kita dapat melihat kerajaan Malaysia dan UMNO menyatakan kecaman terhadap Israel.
"Kami amat menghargai sokongan pemimpin Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas majlis Forum Antarabangsa UMNO 2012 yang dirasmikan Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Hamdan merupakan seorang daripada ahli panel dalam forum sempena Perhimpunan Agung 2012 bertajuk Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat - Memandang ke Hadapan atau ke Belakang itu yang bermula hari ini hingga esok.
Berhubung fenomena 'Arab Spring' yang membawa kepada peralihan kuasa pemerintahan di beberapa negara di Asia Barat, beliau memberitahu, negara-negara terbabit perlu menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi ketika ini.
Tambah Hamdan, negara-negara yang dilanda fenomena 'Arab Spring' memerlukan masa lima hingga 10 tahun lagi untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
"Proses peralihan kuasa tidak dapat dilakukan dalam masa sehari, namun kita dapat lihat ada kemajuan dari segi politik di Mesir dan Tunisia," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau percaya perubahan senario politik yang berlaku di rantau Asia Barat akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat antara negara-negara Arab dan dunia Islam. -Utusan-
Post a Comment
Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...