AMANAT TIMBALAN PRESIDEN UMNO

27 Nov 20120 comments


AMANAT PIMPINAN UMNO

........UMNO TOLAK IDEOLOGI SONGSANG , IKUT SYARIAT ISLAM
Kita sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru. Kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral.
Di peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok minoriti yang tertindas.
Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka.
Hari ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama.

Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh baru-baru ini.
Di negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi benteng politik pembangkang. Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita yang menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot.
Jika undang-undang itu kolot, maka apakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot? Janganlah kerana perlakuan songsang ini dibenarkan di Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya.
KOMITMEN UMNO
UMNO terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui inisiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.
Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa Agenda Bumiputera, pegangan ekuiti bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7 bilion ringgit.
Begitu juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan meningkatkan syiar Islam. Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan.
Hari ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik. Dengan kedudukan negara kita yang agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula membantu saudara Islam kita di seluruh dunia.
 Sepanjang 66 tahun UMNO memperjuangkan Melayu dan Islam, UMNO tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah keadilan UMNO. Inilah kesaksamaan UMNO.
 Pejuang UMNO tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya. Justeru, UMNO akan terus mengangkat suara Melayu di samping tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut oleh agama.
Kita sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara.
Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan UMNO, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr), kesatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci.
Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini.
Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan.
UMNO di bawah kepimpinan Presiden selaku Perdana Menteri sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara kita. UMNO telah merasai denyut nadi rakyat. Menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan UMNO sedang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Kita akur bahawa transformasi adalah satu proses yang berterusan. Kita tahu bahawa masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti. Walau apa pun, demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera, marilah kita redah segala rintangan, kita harungi segala dugaan, kita atasi segala cabaran.
Kepada Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah perjuangan menjalin rantaian sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang. Maralah dengan merah yang menyala, tiuplah ia hingga menjadi obor yang menerangi jalan-jalan kemenangan. Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah pembimbing, engkaulah srikandi.
Kepada Pemuda, saudara-saudaralah hulubalang benteng hadapan yang akan mempertahankan Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak muda menyerah. Jangan biarkan walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke setiap kota, desa dan lurah. Dekatilah generasi muda dengan hikmah. Berjuanglah dengan tabah. Adat bertarung menjunjung maruah. Membujur lalu melintang patah.
Kepada Puteri, permata yang bergemerlapan, sinarilah generasi muda dengan harapan dan keyakinan. Andalah yang memahami suara hati mereka. Rasailah denyut nadi mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita dalam perjuangan murni melakari masa depan nusa dan bangsa.
Kita tidak gentar menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah pendirian kita. Perkukuhkanlah tekad kita. Pertingkatkanlah kebijaksanaan kita. Kita mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita mempertahankan benteng negara daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah politik jahat dan budaya sesat yang dibawa oleh pembangkang.

Share this article :

Post a Comment

Kami tidak bertanggungjawab dengan komen anda. Silalah komen , jangan mengomel. MHS cadangkan agar tuan/puan gunakan nama tak kisah lah panggilan atau sebenar. Tak perlu lah pakai anonnymous/anon. itu lebih beretika...


 
Support : Copyright © 2012-2020. MHS - All Rights Reserved: MyHomeSoil Design Team